Latest Happenings

IPK Selangor terima sumbangan 1,500 pek bubur lambuk

SHAH ALAM: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerima 1,500 pek bubur lambuk istimewa dimasak menggunakan beras sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), hari ini, sebagai juadah berbuka puasa untuk anggota pasukan barisan hadapan itu.

Program tanggungjawab sosial korporat itu diadakan hasil inisiatif BERNAS bersama dua pembekal bahan makanan asas, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan Syarikat Era Bayam Kota Sdn Bhd (ERA).

Bubur lambuk itu dimasak secara gotong-royong oleh lebih 30 kakitangan BERNAS, CSR dan ERA berasaskan resipi tradisi di kawasan Surau Khalid Al-Walid, IPK Selangor.

Juadah itu kemudian diserahkan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, sebelum diagihkan kepada anggota IPK Selangor.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Shahrul Laili Masduki, dan Ketua Pegawai Kewangan CSR, Mohd Azahar Mohd Salleh.

Mohd Azahar dalam ucapannya berkata, program itu dianjurkan antara lain sebagai tanda terima kasih kepada pasukan polis yang komited dan berdedikasi dalam menangani pandemik COVID-19.

“Program kemasyarakatan seperti ini memang sebati dengan nilai ketiga-tiga syarikat kami. Ia juga adalah cara syarikat memberi balik kepada masyarakat setempat di mana kami beroperasi.

“Warga kerja kami memang selalu menantikan peluang menyertai aktiviti sebegini. Kali ini, peluang muncul dengan program memasak bubur lambuk untuk polis.

“Sejak pagi lagi, mereka begitu teruja berkampung di sini untuk melakukan kerja memasak serta membungkus bersama petugas daripada pihak polis, sebagai persediaan mengedarkan pek bubur lambuk ini,” katanya.

Sambil menyifatkan usaha, jasa dan khidmat bakti polis sebagai tidak ternilai, beliau berkata, program itu diharap sedikit sebanyak dapat menceriakan pasukan terbabit ketika Ramadan.

“Kami juga berharap program seumpama ini akan terus memupuk nilai murni dalam kalangan warga kerja, selain menggalakkan amalan berkongsi rezeki ketika Ramadan,” katanya.

Selain itu bagi membantu meringankan beban masyarakat, beliau berkata, BERNAS menyerahkan 200 kilogram ‘Beras RUJI’ untuk program Dapur Rezeki di Surau Khalid Al-Walid.

Share