Kami ingin merujuk kepada aduan awam berhubung dengan gangguan bunyi yang terhasil dari operasi kilang Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) Shah Alam seperti mana dilaporkan oleh penduduk setempat dalam minggu ini.
Adalah dimaklumkan bahawa gangguan bunyi tersebut terhasil dari aktiviti boiler baharu yang telah dipasangkan di mana aktiviti seperti ujian stim, testing & commissioning, pembilasan wap stim pada semua sistem paip sedang dilaksanakan.
Aktiviti ini merupakan satu keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan boiler baharu akan beroperasi secara selamat dan memperolehi Certificate of Fitness.
Walau bagaimanapun, pihak kami amat prihatin dengan impak bunyi yang dihadapi oleh penduduk sekitar.
Sehubungan dengan itu, kami di CSR sedang berusaha untuk mengambil beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan kadar bunyi yang terhasil seterusnya meminimakan gangguan kepada penduduk sekitar.
Selain itu, satu surat hebahan telah diedarkan kepada orang awam menerusi persatuan penduduk bagi memaklumkan kerja-kerja berkenaan dan gangguan sementara yang bakal dihadapi kepada penduduk setempat.
Bagi memastikan keselesaan penduduk berterusan, aktiviti ini telah dihentikan sementara sehingga CSR mendapat kaedah terbaik untuk melaksanakannya.
Kami ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih kepada penduduk yang memahami dan memberi kerjasama sepanjang tempoh ini.